Ipoh: Penolong Pegawai Perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa jantung Muhammad Zaharif Affendi terhenti sebelum bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) diberikan kepada mangsa berkenaan.
Mohammad Nor Shazree Shahrun Nizam, 31, membuat kenyataan itu ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz pada hari keempat perbicaraan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh seorang pelajar sekolah menengah pada Disember tahun lepas.
Afzainizam: Apabila kamu disoal oleh peguam, adakah jantung kanak-kanak tersebut telah berhenti sebelum CPR dilakukan? Sila jelaskan kenapa kamu bersetuju dengan peguam tersebut.
Mohammad Nor Shazree: Saya melakukan CPR kerana jantung mangsa sudah berhenti, jadi kami membantu dengan CPR. Disebabkan jantung sudah berhenti, kami teruskan dengan CPR.
Afzainizam: Adakah sebelum CPR dilakukan, jantung kanak-kanak itu sudah berhenti?
Mohammad Nor Shazree: Ya.
Terdahulu, saksi pendakwaan kelapan itu menjelaskan CPR dilakukan bagi membolehkan pihaknya menganalisis ritma jantung dan memeriksa sama ada nadi mangsa masih ada.
“Apabila jantung berhenti, kami akan teruskan dengan CPR selama lebih kurang 15 minit. Jika selepas 15 minit masih tiada degupan jantung, kami akan berhenti melakukan CPR,” katanya.
Ketika disoal oleh Afzainizam sama ada terdapat degupan jantung mangsa semasa CPR dilakukan, Mohammad Nor Shazree berkata: “Semasa melakukan CPR, jantung memang sudah berhenti, jadi kami bantu secara luaran iaitu tekanan dada.”
Selain itu, Mohammad Nor Shazree menjelaskan beliau akan meneruskan CPR walaupun menyedari tulang rusuk mangsa mungkin patah kerana jantung telah berhenti berdegup.
Katanya, sekiranya CPR dilakukan dengan betul, patah tulang rusuk dapat dielakkan bagi menjawab cadangan M Athimulan yang mewakili tertuduh bahawa tekanan berkali-kali terhadap dada mangsa menyebabkan patah tulang rusuk.
Sementara itu, dalam pernyataan bertulisnya, Mohammad Nor Shazree berkata, ketika beliau tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini pada 12.15 tengah hari, 15 Dis lepas, beliau mendapati seorang kanak-kanak lelaki berada di kawasan persimpangan pada bahu jalan berhampiran sekolah berkenaan.
Beliau mendapati sejurus tiba, kanak-kanak lelaki itu telah diberikan rawatan kecemasan oleh individu lain, dipercayai kakaknya.
“Saya kemudian menyambung memberikan rawatan kecemasan pernafasan menggunakan kaedah CPR. Setelah membuat pemeriksaan, saya mendapati kanak-kanak tersebut telah meninggal dunia.
“Kanak-kanak itu tidak mempunyai tanda-tanda kehidupan iaitu tiada nadi, tiada pengembangan pada anak mata dan tiada pernafasan. Saya juga mendapati terdapat kesan darah pada muka dan tangan kanak-kanak itu,” katanya.
Katanya setelah memastikan mangsa tidak memberikan sebarang respons, beliau membuat pengesahan bahawa mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda kehidupan pada 12.32 tengah hari di lokasi tersebut.
“Selepas itu saya meninggalkan lokasi dan pulang ke hospital lebih kurang 12.55 tengah hari,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.
Pegawai kanan polis berpangkat DSP itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Afzainizam bersama TPR Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Athimulan, peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung Isnin ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd