Polis buka 4 kertas siasatan kes bunuh pemandu jengkaut

Polis buka 4 kertas siasatan kes bunuh pemandu jengkaut

am@hmetro.com.my

Jasin: Polis membuka empat kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah premis gunting rambut, di Taman Rim Baru, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, pihaknya menerima laporan pada 8.30 malam membabitkan pergaduhan di kawasan taman perumahan berkenaan.

Katanya, akibat kejadian, mangsa berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Jasin, ketika sedang menerima rawatan.

“Selain, kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh, polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan berhubung kejadian.

“Dua kertas siasatan yang dibuka membabitkan Seksyen 148/427 KK kerana merusuh serta khianat di Hospital Jasin dan Taman Sin Ban Bee, manakala satu lagi di bawah Seksyen 506/427 KK kerana ugutan dan khianat di rumah mangsa,” katanya.

Beliau berkata, tiga suspek yang ditahan sebelum ini masing-masing berusia 21, 22 dan 31 tahun kini direman selama tujuh hari sehingga 1 September depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung motif sebenar kejadian.

“Usaha mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas dan dipercayai terbabit dalam serangan itu giat dijalankan.

“Pihak polis juga ada mengesan beberapa klip video kejadian di Hospital Jasin yang tular, justeru itu kami memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Pemandu jengkaut maut diserang, ditetak

© New Straits Times Press (M) Bhd