Polis buka 2 kertas siasatan kes simbah anjing dengan air panas

Polis buka 2 kertas siasatan kes simbah anjing dengan air panas

am@hmetro.com.my

Ipoh: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kes tular individu dikatakan menyimbah anjing menggunakan air panas di kedai serbaneka di Jalan Besar Menglembu, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Katanya, laporan mengenai insiden diterima pada 12.30 tengah malam 7 Mac lalu dengan siasatan awal pihaknya mendapati lelaki warga asing menyimbah secawan air panas ke atas seekor anjing liar yang berlegar di luar premis.

“Polis sedang melengkapkan siasatan kes ini dan akan merujuknya kepada Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan kes dijalankan bagi kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, anjing yang terbabit dalam insiden itu bagaimanapun sudah diselamatkan dan dihantar klinik veterinar bagi rawatan.

Mohamad Sajidan juga berkata, suspek sudah dirakam percakapan padan hari sama laporan diterima.

Polis menasihati orang ramai supaya tidak menganiaya dan khianat terhadap haiwan kerana ia satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.

“Jika terdapat sebarang insiden membabitkan gangguan haiwan, orang ramai diminta untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top