Polis ambil keterangan Che’gu Bard, Razali

Polis ambil keterangan Che’gu Bard, Razali

PETALING JAYA : Polis mengesahkan telah mengambil keterangan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard berhubung penularan video perbualan telefon membabitkan dua lelaki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya turut memanggil bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff untuk menyambung rakaman percakapan.

Kata beliau, proses berkenaan bagi siasatan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes itu telah disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses penyiasatan termasuk membuat penularan semula rakaman video tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pengguna media sosial yang menggunakan kemudahan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya juga telah memangil Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris bagi dirakam percakapan.

Kata beliau, proses rakaman percakapan itu dilakukan di Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu hari ini di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Siasatan ini berhubung kenyataan bersifat penghinaan terhadap pentadbiran keadilan dengan menyifatkan keputusan oleh Institusi Kehakiman dikawal oleh kerajaan.

“Kenyataan tersebut dipercayai dibuat semasa majlis pelancaran jentera Pilihanraya Kecil kemaman, Terengganu pada 10 November lalu,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat oleh USJT, Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998z

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan perkara 145 (3) perlembagaan persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN