Podcast bukti hobi saya menjadi – Zarul Umbrella

Podcast bukti hobi saya menjadi – Zarul Umbrella

Di saat peranti elektronik menjadi keperluan bagi setiap individu pada hari ini, penyanyi, Zarul Umbrella menjadikan teknologi tersebut untuk menjana pendapatan sampingannya dalam kerjaya seni.

Kata pemilik nama lengkap, Zairulkefli Husin, minatnya yang suka mengumpul dan membeli peranti elektronik seperti kamera, komputer riba dan mikrofon mendorong semangatnya untuk menghasilkan video atau konten spontan.

Buktinya, penyanyi yang berusia 51 tahun itu sudah mempunyai saluran audio siar menerusi platform YouTube yang mengupas pelbagai topik menarik berkaitan isu semasa terutamanya, melibatkan kerjaya lalunya dalam bidang penerbangan.

“Saya suka mengumpul peranti elektronik seperti kamera, komputer riba, telefon bimbit dan perkakas yang boleh buat video. Saya sudah mula mengumpul peranti elektronik atau lebih mudah kita panggil sebagai gajet ini sejak saya bekerja sebagai pramugara lagi.

“Cuma, saya mula mengumpulnya secara perlahan-lahan dan beli gajet itu mengikut kemampuan saya sekitar tahun 2017. Gajet pertama yang saya beli adalah GoPro dengan niat mahu hasilkan konten santai saja.

“Saya juga sentiasa mengambil tahu perkembangan terkini tentang gajet menerusi YouTube atau Google lebih-lebih lagi jika ada pelancaran produk terbaharu dari jenama-jenama elektronik terkemuka,” katanya kepada Pancaindera.

Dari minat menjadi kerjaya, vokalis kumpulan Umbrella tersebut tidak sangka tabiat mengumpul peranti elektronik itu membuka ruang untuknya menjana pendapatan sampingan.

Meskipun pada awalnya tidak mempunyai matlamat yang jelas, Zarul mengakui minatnya itu secara tidak langsung mengasah kreativitinya untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti.

“Siapa sangka hasil minat saya mengumpul gajet-gajet itu, saya sudah ada saluran podcast sendiri, Borak Dalam Galley. Saluran podcast itu mengupas tentang kisah-kisah di sebalik bidang penerbangan. Maksudnya, semua itu menjadilah.

“Orang yang mengikuti saya dari dulu pasti boleh nampak perbezaan kualiti konten saya sekarang. Ini kerana saya banyak berhabis duit untuk membeli peranti yang terbaik dan canggih dari masa ke semasa.

“Dalam masa sama, saya menjana pendapatan dengan menjadi Key Opinion Leader (KOL) untuk sebuah institusi penerbangan dan menghasilkan video yang diperlukan oleh pihak institusi tersebut,” jelasnya.

Sedar hobinya itu memerlukan perbelanjaan yang mencecah ribuan ringgit, Zarul bagaimanapun enggan mendedahkan anggaran keseluruhan yang telah dibelanjakan untuk membeli peranti elektronik yanh dimililinya.

Zarul menganggap pelaburannya itu membuahkan hasil kerana mampu membentuk sebuah produksi kecil dari titik peluhnya sendiri.

Podcast bukti hobi saya menjadi – Zarul Umbrella

“Anggaran yang saya sudah laburkan untuk kesemua gajet itu seperti saya buka sebuah produksi. Apa yang boleh saya katakan, semuanya balik modal. Saya boleh sewa satu studio, upah beberapa orang untuk bantu saya buat konten dan menyimpan kelengkapan yang sedia ada di sana.

“Untuk peranti yang saya miliki sekarang ini tidaklah terlalu mahal. Contohnya, saya memiliki dua komputer riba yang pada saya agak premium tetapi cukup untuk menampung format dan kualiti video yang saya perlukan.

“Sekiranya, ada jenama terkemuka melancarkan gajet baharu, saya akan ‘trade in’ barang yang sedia ada atau beli baru sahaja,” katanya lagi.

Selain itu, penyanyi lagu Ramalanku Benar Belaka tersebut meluahkan rasa gembira apabila isterinya, Intan Nur Fathihah turut memberikan sokongan yang amat kuat terhadap minatnya itu.

Zarul juga menganggap hobinya itu bukan sesuatu perkara yang sia-sia memandangkan dia memanfaatkan setiap gajet yang dikumpulkan dengan baik.

“Isteri saya sokong dengan minat saya ini sebab saya memanfaatkan setiap peranti yang saya beli itu dengan baik. Kalau saya beli kamera yang bernilai RM15,000, dari situ saya boleh gunakan dia sebaik mungkin sehingga boleh menjana pendapatan dalam RM30,000.

“Saya bukan kumpul peranti-peranti ini semata-mata kerana suka. Saya gunakan semua untuk jana pendapatan. Saya juga belajar cara untuk menyunting video dengan sendiri sejak menerima beberapa tawaran untuk membuat ‘review’,” kongsinya.

Scroll to Top