Pochettino sasar AS julang Piala Dunia

Pochettino sasar AS julang Piala Dunia

New York: Jurulatih baharu pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino berkata, skuadnya perlu menetapkan sasaran tertinggi iaitu untuk memenangi Piala Dunia.

Jurulatih dari Argentina itu, yang pernah membimbing Tottenham Hotspur dan Paris Saint Germain (PSG), diperkenalkan kepada media selepas menandatangani kontraknya minggu ini.

AS akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada dan Pochettino berkata beliau percaya sasaran itu mampu menyuntik semangat barisan pemain.

“Kami perlu percaya bahawa kami boleh menang. Bukan sekadar menang satu perlawanan, tetapi untuk memenangi Piala Dunia. Kami mahu pemain tiba pada hari pertama dengan pemikiran yang besar,” katanya.

Pencapaian terbaik AS dalam Piala Dunia moden adalah mara ke suku akhir di Korea Selatan dan Jepun pada tahun 2002.

Negara itu menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kejohanan sulung pada tahun 1930.

Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat memilih Pochettino selepas memecat jurulatih, Gregg Berhalter berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan di Copa America, Jun lalu.

Tanpa perlu mengharungi kempen kelayakan bagi tuan rumah, satu-satunya perlawanan kompetitif untuk AS adalah dalam Liga Negara-Negara CONCACAF dan kejohanan Piala Emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd