PMDK persiap lahir atlet muay thai wakili Pahang ke Sukma Selangor

PMDK persiap lahir atlet muay thai wakili Pahang ke Sukma Selangor

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Persatuan Muay Thai Daerah Kuantan (PMDK) sedang mempersiapkan atlet yang bakal mewakili Pahang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Presidennya, Ahmad Adzwan Abdullah, berkata setakat ini, persatuan itu mempunyai 20 atlet, termasuk tiga wanita berumur antara 14 dan 16 tahun sedang menjalani latihan di PMDK Arena, Jalan Wong Ah Jang, di sini.

“Daripada 20 atlet itu, hanya lapan atlet, termasuk tiga wanita akan dipilih untuk menyertai pasukan muay thai Pahang.

“Pada peringkat Pahang, seramai 21 atlet muay thai akan menjalani latihan sebelum atlet terbaik disenaraikan untuk mewakili Pahang di Sukma Selangor nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pada sidang media Kejohanan PMDK Fight 3.0 merebut tali pinggang YBS di sini hari ini.

Pada kejohanan itu, seramai 18 atlet muay thai termasuk dari luar negara mengesahkan penyertaan di kejohanan itu yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Abdul Manan, Paya Besar, di sini Sabtu ini.

Beliau berkata, kejohanan itu adalah sebahagian daripada inisiatif PMDK untuk mencungkil dan memperkasa bakat muda dalam sukan muay thai di Kuantan.

“Selain itu, kami ingin memastikan bakat-bakat ini diberi peluang menyertai program latihan yang komprehensif di bawah ‘School Muaythai’, dengan harapan mereka dapat menjadi wakil daerah dan negara suatu hari nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top