PM sumbang 28,000 ekor ayam percuma

PM sumbang 28,000 ekor ayam percuma

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dijadual mengagihkan 28,000 ayam segar seberat 56 tan secara percuma sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada 28 kariah masjid sekitar Parlimen Permatang Pauh.

Pegawai Penyelaras Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya, Fayyadh Afiq Al-Bakqry, berkata, pengagihan itu akan dilakukan dalam dua fasa, iaitu 14,000 ayam membabitkan 14 masjid pada minggu ini dan selebihnya pada minggu depan.

Katanya, pemberian sumbangan berkenaan meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Permatang Pauh, iaitu Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Beliau berkata, ia bertujuan membantu meringankan beban anak kariah, terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Ini adalah sumbangan peribadi Perdana Menteri yang mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

“Kita juga mahu memastikan rakyat dapat menikmati bekalan makanan yang mencukupi, terutama menjelang Hari Raya ini,” katanya kepada pemberita pada program pengagihan ayam segar di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Bandar Perda, di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 1,500 ayam habis diagihkan dalam tempoh 30 minit saja.

Sementara itu juruwang, Siti Norfatimah Musa, 42, berterima kasih atas pemberian ayam berkenaan yang dapat dijadikan juadah berbuka puasa bersama keluarganya.

“Walaupun hanya seekor ayam, ia tetap bermakna buat saya dan keluarga kerana dapat menjimatkan perbelanjaan kami,” katanya.

Ahmad Ridwan Sufian, 34, pula berharap program sumbangan seumpama itu dapat diteruskan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Program pemberian ayam segar seperti ini amat bagus dan diharap ia diteruskan lagi kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top