am@hmetro.com.my
Kuantan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi lima projek yang menjadi keutamaan di Pahang.
Beliau berkata, persetujuan kerja itu hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang yang dipengerusikannya bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri di sini, hari ini.
“Dalam mesyuarat itu, saya dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang membabitkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan, perumahan.
“Saya bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang.
“Lima projek itu ialah pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03, penaiktarafan Jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51 kilometer dan pakej 6 bagi Central Spine Road antara Karak-Simpang Pelangai.
“Selain itu penaiktarafan Jalan dari Kampung Padang ke Persimpangan Lampu Isyarat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 (Fasa 2) dan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 7 beserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Pahang,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Anwar berkata, selain melihat kepada perancangan projek pembangunan, mesyuarat turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di Pahang yang bakal dinoktahkan menjelang hujung bulan ini.
“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara.
“Di penghujung sesi mesyuarat, saya memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepimpinan negeri untuk lantas tingkatkan prestasi serta perkemas prinsip ‘good governance’ agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap yang lebih cemerlang dan bermakna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd