PM santuni Ustaz Abdul Somad di Perdana Putra

PM santuni Ustaz Abdul Somad di Perdana Putra

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara yang dijemput ke pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan itu mereka berbual dan saling bertukar fikiran mengenai kegiatan dakwah di Malaysia dan Indonesia.

“Selepas solat Jumaat bersama (semalam), saya jemput Ustaz Somad untuk singgah ke pejabat saya.

“Selain perbualan santai, kami turut menekuni perihal kegiatan dakwah antara dua negara akrab Malaysia-Indonesia serta usaha dalam mempertingkatkannya ke tahap yang lebih bermakna,” katanya.

Anwar turut berkongsi beberapa keping gambar yang diabadikan bersama Ustaz Somad di platform media sosialnya itu.

Terdahulu, kedua-dua mereka menunaikan solat Jumaat di Surau Nurul Ikhlas di Seri Kembangan selepas makan tengah hari di Restoran Singgah Rassa di Seri Kembangan semalam.

Kehadiran Ustaz Somad ke Malaysia bagi menjayakan ceramah perdana sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Melaka di Stadium Hang Jebat, Krubong malam ini.

Penganjuran ceramah perdana itu bagi menggantikan program Melaka Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife.

Program Melaka Bila Larut Malam diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, bermula 1 Jun lalu bertujuan untuk memperkenalkan keunikan dan keindahan Melaka pada waktu malam. – MalaysiaGazette