Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta himpunan pesawah dari seluruh negara yang dilaporkan akan berlangsung di Putrajaya esok, supaya tidak mengganggu perjalanan lawatan negara Presiden Indonesia Prabowo Subianto ke Malaysia.
Anwar berkata, beliau tidak menghalang himpunan itu diadakan, namun ia seharusnya ditetapkan pada masa dan situasi yang sesuai.
“Esok kita ada tetamu negara Presiden Prabowo Subianto, dalam lawatan negara khas atas undangan Yang di-Pertuan Agong dan saya, dan ada perjumpaan berikutnya di Putrajaya.
“Saya tidak menghalang adakan pertemuan nak serah memo kepada Menteri Pertanian.. silakan, tetapi buat urusan, tetapkan masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis Syarahan Perdana Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, di sini malam ini.
Menurut laporan media lebih 1,000 pesawah dari seluruh negara akan berkumpul di Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri esok berkaitan tuntutan supaya harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.
© New Straits Times Press (M) Bhd