Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar kepedulian terhadap kebajikan rakyat, terus menjadi keutamaan dan diuruskan dengan baik.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Anwar berkata, hari ini beliau menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Perdana Putra, Putrajaya.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, beliau dan Mohd Nassuruddin membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Antara isu yang dibincangkan termasuk perkembangan projek tebatan banjir, pembangunan di sempadan, serta projek infrastruktur seperti penjajaran jalan dan pengurusan air.
“Saya juga titipkan pesanan agar kepedulian terhadap kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dan diuruskan sebaiknya,” kata beliau.
© New Straits Times Press (M) Bhd