PM ke beberapa negeri mulai minggu depan, menoktahkan miskin tegar jadi agenda utama

PM ke beberapa negeri mulai minggu depan, menoktahkan miskin tegar jadi agenda utama

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mulai minggu depan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke negeri-negeri untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani dan mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri bersama pimpinan utama Kerajaan Negeri serta agensi.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar menetapkan bahawa agenda menoktahkan kemiskinan tegar kekal sebagai keutamaan tertinggi dalam perbincangan bersama pimpinan yang berkenaan.

Tunku Nashrul berkata, sejak agenda itu diumumkan dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri sudah menggerakkan semua Setiausaha Politik ke negeri-negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar.

“Usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan, dan perumahan, serta memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.

“Alhamdulillah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memaklumkan bahawa sehingga 31 Disember tahun lalu, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis berjaya mencapai sifar miskin tegar, dan InsyaAllah kejayaan ini akan diperluas ke negeri-negeri lain,” katanya.

Tunku Nashrul berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top