PM Anwar seru umat Islam imarah masjid dengan kegiatan ilmiah, elak perbalahan

PM Anwar seru umat Islam imarah masjid dengan kegiatan ilmiah, elak perbalahan

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru untuk mengimarahkan masjid dengan menyuburkan kegiatan ilmiah yang dapat menarik semua golongan terutamanya wanita dan anak muda.

Anwar berkata, Islam amat menekankan penguasaan ilmu agama khususnya Al-Quran yang akan memberikan kebijaksanaan serta keupayaan kepada masyarakat untuk menilai perkara baik dan buruk, sekali gus mengelak perpecahan mahupun perbalahan dalam kalangan manusia.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan masjid disaran untuk memperbanyakkan lagi program dan kelas pengajian yang mampu menarik minat masyarakat.

“Ramadan ini, kesempatan kita untuk menyempurnakan ibadah dengan niat yang jelas dan memperbanyakkan amal (termasuk) menguasai Al-Quran dan cuba memahami serta menghayatinya.

“Ini kerana jika Al-Quran ini difahami dan berada di hati ia akan menjadi petunjuk kepada manusia, memberikan kekuatan untuk membuat penilaian dan pencerahan kepada umat.

“Pengetahuan adalah dengan menguasai ilmu yang mana dengan menguasai ilmu, akan ada kebijaksanaan, hikmah dan rahmah yang sebab itu institusi masjid perlu disuburkan dengan kegiatan keagamaan bukan sahaja pada bulan Ramadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Anwar meluluskan peruntukan RM100,000 untuk digunakan pihak pengurusan masjid berkenaan untuk melaksanakan program mengimarahkan masjid antaranya kebajikan anak kariah.

Untuk rekod, Masjid Jamek Perai dibangunkan penduduk kawasan berkenaan pada tahun 1979 dan telah dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan bangunan lama dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, menerusi penguasaan ilmu agama juga dapat dijadikan sebagai benteng untuk melawan kejahatan yang memporak perandakan hubungan masyarakat.

Tambah beliau, umat Islam juga diminta untuk mempertahankan institusi zakat dalam memastikan nasib dan kepentingan orang miskin terbela.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top