PM Anwar bantu tampung sebahagian kos rawatan bayi 10 bulan hidap mutasi genetik

PM Anwar bantu tampung sebahagian kos rawatan bayi 10 bulan hidap mutasi genetik

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan bantuan bagi menampung sebahagian kos rawatan Sophie Abdul Raof, bayi berusia 10 bulan yang menghidap komplikasi mutasi genetik SCN8A.

Sumbangan wang tunai itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kepada ibu bapa bayi berkenaan hari ini bagi mengurangkan beban keluarga itu.

Mutasi genetik SCN8A, satu penyakit jarang jumpa yang memberi kesan kepada sistem saraf bayi itu menyebabkan gangguan serius pada otak dan saraf, mengakibatkan sawan berterusan, kesukaran bergerak, serta pelbagai masalah kesihatan yang memerlukan kos rawatan tinggi.

“Saya berkesempatan menziarahi Sophie yang sedang berjuang melawan komplikasi mutasi genetik SCN8A. Sophie kini memerlukan rawatan berterusan bagi membantunya meneruskan kehidupan.

“Dalam kunjungan ini, saya mendengar sendiri luahan kegelisahan serta ketabahan Raof dan Atiqah (ibu bapa Sophie), yang tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan terbaik untuk merawat anak kecil mereka.

“Akibat daripada penyakit jarang jumpa yang dihidapi Sophie, kos bagi menampung rawatannya adalah terlalu tinggi. Sehubungan itu, saya menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membantu menampung sebahagian daripada kos rawatan Sophie,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top