Platform kembang perniagaan

Platform kembang perniagaan

am@hmetro.com.my

Jasin: Penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 bukan sahaja menjadi medan golongan itu bertukar pendapat, malah turut dapat membantu meningkatkan ekonomi usahawan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, ia berikutan kumpulan sasar bagi program tersebut yang terdiri daripada usahawan luar bandar berpotensi yang telah mendapat bimbingan KKDW dan agensi bagi meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya lihat program sebegini berpotensi dijadikan sebagai acara terbesar bagi zon selatan, seperti mana yang dilaksanakan di Perlis iaitu Pesta Angin Timur dan bagi masyarakat setempat di Melaka dan sempadan Johor-Melaka, mereka perlu mengambil peluang ini mendapatkan segala maklumat dan fungsi KKDW dan agensi bagi memajukan perniagaan mereka,” katanya selepas melakukan lawatan tapak Program Mini KUD@ Festival D’ Bendang di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai, semalam.

Bagi usahawan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang juga pemenang Program Rural Business Challenge (RBC) 2013, Mohd Syukor Ahmad, 45, berkata, penganjuran Mini KUD adalah platform terbaik khususnya untuk usahawan bertukar pandangan dalam mengembangkan lagi perniagaan.

“Secara peribadi, penganjuran KUD ini amat baik untuk usahawan bukan sahaja bagi yang baru menceburkan diri tetapi mereka yang sudah lama berniaga.

“Di sini kami secara tidak langsung dapat berkongsi dan bertukar pandangan antara satu sama lain dalam hal yang berkaitan keusahawanan, termasuk secara tidak langsung berjumpa dengan agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau yang mengusahakan cendawan tiram berkata, peluang peluang untuk turut serta dalam KUD @ Festival D’ Bendang itu adalah peluang keemasan kerana ia adalah sebuah program yang besar.

“Menerusi penganjuran seperti ini, kami bersedia untuk berjumpa dan berkongsi ilmu untuk mengusahakan cendawan tiram kepada mereka yang berminat,” katanya.

Sementara itu, pemenang RBC 2014, Rozana Musa, 42, berkata penyertaan dalam KUD banyak membantunya dalam menjalinkan usaha sama dan berhubung dengan agensi lain yang boleh membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan.

“KKDW ini banyak membantu dalam proses membangunkan perniagaan, contohnya menerusi KUD ini usahawan bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah boleh berkomunikasi dengan agensi berkaitan.

“Paling penting, sebagai usahawan ia memberi pendedahan untuk saya berjumpa dengan orang ramai atau pengunjung yang mempunyai latar belakang yang berbeza,” kata pengusaha seramik itu.

Rozana berkata, beliau yakin lebih ramai usahawan baharu dapat dilahirkan menerusi sesi perkongsian maklumat secara terus pada KUD kali ini.

“Seperti perniagaan seramik ini sebenarnya mempunyai permintaan tinggi dan saya sendiri kerap menolak tempahan kerana tidak mampu menampung permintaan.

“Justeru di KUD ini secara tidak langsung dapat mengajar atau mendidik orang ramai bagaimana untuk mengusahakan seramik ini dengan baik sehingga mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd