PKP hanya di lokasi tertentu – PM

PKP hanya di lokasi tertentu – PM

zaky@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, PKP hanya akan dilaksanakan di lokasi tertentu yang menjadi kawasan mengalami peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19.

“PKP bersasar hanya untuk memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal, gangguan perniagaan dapat diminimumkan dan kemampanan ekonomi dapat dicapai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pihak Industri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalannya, Datuk Lim Ban Hong.

Muhyiddin berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau memberi jaminan kerajaan akan menerapkan langkah sesuai untuk mencapai keseimbangan antara melindungi nyawa dan kehidupan rakyat terjejas COVID-19.

Katanya, kerajaan akan melakukan apa yang perlu untuk menghidupkan semula ekonomi dan mengembalikan pekerjaan kepada rakyat.

“Seperti saya katakan, saya harus mengakui dan menghargai peranan penting diambil sektor swasta memerangi wabak ini terutama ketika PKP atau lebih popular dengan PKP 1.0 dan PKP 2.0,” katanya.

Menuju ke hadapan, Perdana Menteri berharap komuniti perniagaan termasuk individu akan terus melaksanakan peranan penting dalam mengurus dan membendung wabak kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

“Justeru, saya sekali lagi menekankan peranan industri adalah penting untuk mencapai matlamat bersama bagi melindungi nyawa dan kehidupan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top