PKBM sedia anjurkan kejohanan lebih besar

PKBM sedia anjurkan kejohanan lebih besar

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia membuktikan sudah bersedia untuk menganjurkan apa jua kejohanan mahupun program di bawah Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas menjadi tuan rumah untuk 14 negara menyertai Kursus Elite National Commisaires (ENC) (basikal bukit) 2025, baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, kepercayaan UCI terhadap Malaysia itu memberi mesej positif sekaligus bakal membuka peluang lebih banyak penganjuran akan dilakukan di negara ini selepas ini.

“Malaysia sentiasa dipilih UCI untuk penganjuran kursus ENC. Ini membuktikan UCI sangat percaya kehebatan pentadbiran PKBM dalam memastikan kelancaran kursus ENC 2025,” kata Amarjit dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Tambahnnya, Malaysia, Indonesia dan Filipina muncul negara yang menghantar lebih daripada seorang komisar ke Kursus ENC 2025 yang dianjurkan pada hujung bulan lalu.

“Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar komisar ke Kursus ENC 2025 dengan bilangan seramai empat orang. Indonesia dan Filipina pula menghantar dua komisar,” katanya.

Selain itu, negara seperti China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei dan Kemboja turut hadir sama menyertai Kursus ENC 2025.

Sebelum ini, Malaysia turut sering menerima pengiktirafan daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menjadi venue ‘kejohanan bertaraf dunia’ ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023.

Malah Malaysia turut sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi ACC 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top