PKBM perlu dapat pengesahan Azizulhasni hujung bulan ini

PKBM perlu dapat pengesahan Azizulhasni hujung bulan ini

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) diberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk memberi jawapan sama ada jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang bersetuju kekal berada dalam Program Podium pada tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, ketika ini PKBM perlu berhubung dengan Azizulhasni terlebih dahulu untuk mendapat kata putus daripada pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

Tegas Jefri, seperti atlet lain, Azizulhasni perlu mengikut segala petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan MSN meskipun atlet berusia 36 tahun itu mahu memberi fokus untuk menamatkan pengajian Ijazah Sains Senaman Klinikal di Melbourne, Australia.

“Ia bergantung kepada persetujuan beliau untuk memenangi syarat pertama iaitu KPI ditetapkan apabila beliau perlu melayakkan diri di Kejohanan Dunia (di Santiago, Chile pada Oktober 2025) sama ada melalui acara berpasukan atau individu keirin dan pecut.

“Jadi, kalau beliau bersetuju dengan KPI yang ditetapkan dan setuju terima syarat berkenaan, kami akan tawarkan untuk dia masuk ke Program Podium.

“Sebagaimana atlet lain, mereka ada KPI masing-masing yang boleh dicapai, jadi kami turut letakkan KPI kepadanya (Azizulhasni) yang boleh dicapai.

“Persatuan akan berhubung dengannya untuk mendapatkan keputusan beliau. Mungkin dalam masa terdekat atau saya tak pasti, sebab persatuan baru bermesyuarat semalam.

“Kami akan kemukakan tawaran (ke Program Podium) pada 1 Januari, jadi dalam masa terdekat ini kami akan minta persatuan berhubung dengan beliau,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Jelajah Juara Esports Malaysia 2024, hari ini.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Setiausaha Agung PKBM, Arif Astaman selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MSN berkata, pihaknya serta MSN bersetuju untuk mengekalkan Azizulhasni dalam Program Podium pada tahun depan.

Katanya, The Pocket Rocketman tidak melepaskan tanggungjawabnya terhadap skuad kebangsaan walaupun fokus utamanya buat masa ini adalah untuk menamatkan pengajian.

Jelas Jefri, sekiranya Azizulhasni masih yakin mampu bertanding dan bersaing di peringkat tertinggi, pihaknya berharap jaguh berbasikal trek negara itu akan menerima segala syarat ditetapkan.

Untuk layak ke Kejohanan Dunia, Azizulhasni perlu mengumpul mata ranking menerusi kejohanan diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) termasuk Piala Negara-Negara dan Kejohanan Asia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top