Butterworth: Sepucuk pistol berkarat dan tidak berfungsi ditemukan di kawasan belakang sebuah medan selera di Pantai Bersih di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abdul Rahman berkata pihaknya dimaklumkan penemuan itu oleh lelaki tempatan yang melakukan kerja pembersihan pada 10.15 pagi semalam.
“Polis telah merampas sepucuk pistol revolver itu namun jenisnya masih belum diketahui kerana berkarat dan tidak berfungsi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Norhaslinda Rahmat di 04-576222 (sambungan 2275) atau balai polis berdekatan jika mempunyai maklumat.
Dalam perkembangan lain, Anuar mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua di sini tercekik gula-gula gummy yang dibelinya di luar sekolah.
Beliau berkata laporan polis dibuat semalam oleh guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mendakwa kanak-kanak itu dijumpai terbaring di koridor menuju ke tandas.
“Keterangan saksi iaitu murid lelaki yang juga rakan sekelas mangsa memaklumkan mereka berdua hendak ke tandas sebelum kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri.
“Pihak sekolah cuba memberikan bantuan penafasan namun gagal sebelum hubungi ambulans. Pegawai kesihatan berjaya mengeluarkan dan membuang gula-gula itu namun mangsa tetap tidak sedarkan diri,” katanya.
Anuar meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Shuheri Abdul Rani di talian 04-5762222 (sambungan 2275).
Semalam, media melaporkan Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, kritikal di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas tercekik gula-gula gummy dibeli sebelum sesi persekolahan KAFA pada 2.30 petang Selasa.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd