mdroji@bh.com.my
Kuching : Dana pinjaman selain latihan keusahawanan yang disediakan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya membantu wanita mengeluarkan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan AIM menguatkan lagi semangat penerima bantuan untuk meningkat pendapatan.
Sehubungan itu katanya, ramai wanita khususnya suri rumah kini mampu menguruskan perusahaan kecil-kecilan dengan berkesan sekali gus mengubah kehidupan keluarga.
“Paling penting AIM menyediakan latihan serta sokongan berterusan sehingga penerima bantuan atau sahabat AIM itu benar-benar dapat menguruskan perusahaan mereka dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Singgah Lok Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuching di Petra Jaya, hari ini.
Turut hadir, isterinya Datin Seri Ruziah Mohd Tahir serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM yang juga Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan AIM, Datuk Shamir Aziz.
Fadillah berkata, kejayaan Sahabat AIM menguruskan bantuan serta memanfaatkan latihan terbukti apabila mereka berjaya membayar balik pinjaman tepat pada masanya.
“Kalau mereka tidak berjaya, mereka tidak akan dapat membayar balik pinjaman, sebab itu kadar bayaran balik pinjaman ataupun the ‘non-performing loan’ begitu kecil sekali iaitu 0.02 peratus sahaja.
“Ini bermakna usaha mereka berjaya meningkatkan taraf hidup dan saya mengharapkan serta mendoakan kejayaan berterusan kepada AIM dan juga semua sahabat-sahabat AIM itu sendiri,” katanya.
Sementara itu Syed Hussian dalam ucapannya berkata, di Sarawak sahaja sejumlah RM262 juta diperuntukkan sebagai pinjaman kepada 42,184 Sahabat AIM yang aktif.
Menurutnya, pinjaman yang disalurkan itu antara RM3,000 hingga RM30,000 bagi setiap Sahabat AIM.
Menurutnya lagi, sehingga September 2024 jumlah sahabat AIM seluruh Malaysia adalah seramai 313,000 orang.
© New Straits Times Press (M) Bhd