Pingat 'cacat' Olimpik Paris akan diganti – IOC

Pingat 'cacat' Olimpik Paris akan diganti – IOC

Paris: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memaklumkan kepada AFP bahawa ‘pingat cacat’ dari Sukan Olimpik 2024 di Paris akan diganti dengan model yang sama.

“Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 bekerjasama rapat dengan Monnaie de Paris, yang bertanggungjawab atas pembuatan dan kawalan kualiti pingat, untuk menilai sebarang aduan mengenai pingat dan memahami punca kerosakan.

“Pingat yang cacat akan diganti oleh Monnaie de Paris dan diukir semula dengan reka bentuk yang sama.

“Proses penggantian dijangka bermula dalam beberapa minggu akan datang,” kata IOC.

Jurucakap Monnaie de Paris ketika dihubungi oleh AFP menolak istilah ‘cacat’ dan menyatakan bahawa pingat yang dilaporkan ‘rosak’ oleh atlet sejak Ogos lalu sudah diganti.

“Kami sudah menggantikan semua pingat yang rosak sejak Ogos dan akan terus melakukannya dengan cara profesional seperti sebelumnya,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa penggantian sedang ‘berjalan’ dan dilakukan mengikut permintaan yang diterima.

Menurut media dalam talian Perancis, La Lettre, lebih daripada 100 pingat cacat sudah dipulangkan oleh atlet, yang tidak berpuas hati kerana pingat mereka mengalami kerosakan.

Beberapa atlet Olimpik dari Sukan Paris berkongsi foto pingat mereka di media sosial.

Antara mereka ialah atlet papan selaju Amerika, Nyjah Huston, yang memenangi pingat gangsa dalam pertandingan papan selaju jalanan pada 29 Julai.

Sepuluh hari kemudian, dia memuat naik gambar pingatnya, sambil mengeluh mengenai kualiti pingat itu.

“Pingat Olimpik ini kelihatan hebat ketika baru, tetapi selepas membiarkannya terkena peluh di kulit saya dan membenarkan rakan-rakan saya memakainya sepanjang hujung minggu, ternyata ia tidak berkualiti seperti yang dijangkakan.

“Ia kelihatan teruk. Bahkan bahagian hadapan sudah mula mengelupas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top