Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah akan dibentang selepas beberapa proses diteliti

Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah akan dibentang selepas beberapa proses diteliti

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Beberapa lagi proses perlu diteliti sebelum Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses itu mungkin akan mengambil masa dan kini jawatankuasa induk serta jawatankuasa teknikal yang dibentuk sedang bersidang.

“Jawatankuasa sedang bersidang, sedang merangka dan saya adalah pengerusi jawatankuasa induk manakala ada satu lagi iaitu jawatankuasa teknikal.

“Ada beberapa proses lagi, lama lagi. Kita tak mahu mengulangi kelemahan yang ada sehingga orang boleh cabar kita balik jadi kita nak mengatasi masalah itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Media, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, jika diluluskan dalam sidang DUN yang dijangka April nanti, barulah pindaan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Kelantan.

Menurutnya, satu tarikh untuk draf pindaan itu dimajukan ke peringkat jawatankuasa induk sudah ditetapkan namun enggan mendedahkannya secara lanjut.

“Kita tengah ‘prepare’ (siapkan) dan apabila siap nanti, baru kita cadangkan untuk masukkan dalam sesi (sidang DUN) April dan jika diluluskan… baru hantar kepada Tuanku.

“Kita sudah menetapkan satu tarikh untuk draf pindaan itu dimajukan ke peringkat jawatankuasa induk tetapi saya belum mahu sebut tarikh itu.

“Bagaimanapun, ia (draf pindaan) belum sampai ke peringkat untuk dibawa masuk dan dibentangkan dalam DUN Kelantan,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, DUN Kelantan meluluskan usul menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diisytiharkan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari tahun lalu.

Sebelum ini, panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top