Pilihan Raya Presiden AS: Trump menang di Georgia

Pilihan Raya Presiden AS: Trump menang di Georgia

Donald Trump berjaya menembusi kubu buat Demokrat dengan mengalahkan Kamala Harris di negeri Georgia dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada kali ini. (FOTO: CNN)

– Advertisement –

NEW YORK: Bekas Presiden, Donald Trump telah menang di negeri Georgia dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), mencatatkan kemenangan dalam medan pertempuran utama yang difokuskan kempennya sebagai ‘wajib menang’ selepas beliau kalah tipis di negeri itu  pada 2020.

Ini merupakan kemenangan besar bagi Republikan yang telah berusaha untuk memulihkan status lama negeri itu sebagai kubu kuat parti itu berikutan kemenangan Joe Biden di sana pada 2020.

– Advertisement –

Ia juga menandakan pemulihan sejak usaha Trump untuk membalas semula kekalahannya di Georgia empat tahun lalu – apabila dia menggesa Setiausaha Negara Republikan, Brad Raffensperger untuk ‘mencari’ 11,782 undi yang diperlukan untuknya memenangi negeri itu pada kali ini – yang menjadi asas kepada dakwaan pemerasan jenayah difailkan terhadapnya di Fulton County tahun lepas; yang mana kes itu masih diteruskan, lapor CNN.

Kemenangan Trump di Georgia ke atas Naib Presiden, Kamala Harris bagaimanapun belum penentu kepada jalannya untuk kembali ke Rumah Putih, tetapi ia meletakkan beliau  pada kedudukan untuk kembali ke situ jika beliau boleh menterbalikkan keputusan pilihan raya di beberapa negeri lain yang dimenangi Biden empat tahun lalu. 

Biden ialah calon presiden Demokrat pertama yang memenangi di Georgia sejak Bill Clinton pada 1992; manakala Trump menguasai negeri itu hanya pada 2016.

Trump mendahului Harris

Terdahulu, Trump mendahului empat negeri – Carolina Utara, Indiana, Kentucky dan Virginia Barat dalam pilihan raya presiden pada Selasa Harris berjaya menawan Vermot, ketika saat akhir undian ditutup di sembilan negeri termasuk Georgia dan Carolina Utara.

Keputusan awal dijangka semakin sengit dari segi persaingan di lima lagi negeri iaitu Arizona, Michigan, Nevada, Pennsylvania dan Wisconsin, lapor pula AFP.

Rangkaian media AS termasuk CNN, Fox News, ABC, dan MSNBC/NBC News melaporkan kemenangan Trump di 20 negeri termasuk dua negeri ‘big prizes’, Texas dan Ohio serta negeri-negeri lain yang menjadi kubu kuat GOP sebelum ini.

Sementara itu, Harris dilaporkan berjaya menawan lapan negeri, Colorado, Delaware, Illinois, Maryland, Massachusetts, New York, Rhode Island dan Vermont serta Washington.

Setakat ini, Trump telah memenangi 210 undi (52.5 peratus) manakala Harris 113 undi (46.3 peratus) daripada 270 undi iaitu ‘magic number’ yang diperlukan untuk diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden AS 2024.

Beberapa pemerhati kini memberi tumpuan di ‘swing states’ yang kembali menjadi medan pertempuran utama pada pemilihan kali ini, namun ternyata Trump sudah menguasai dua negeri ‘swing states’ iaitu Carolina Utara dan Georgia.

Tinjauan pendapat menunjukkan persaingan sengit sepanjang tujuh hari menjelang pilihan raya. Dalam tinjauan awal di seluruh AS, hampir tiga perempat pengundi menyatakan bahawa demokrasi Amerika kini berada dalam ancaman. 

Kebimbangan ini mencerminkan perpecahan mendalam dalam kalangan rakyat selepas kempen yang sengit dan penuh provokasi.

Isu-isu utama yang menjadi keutamaan pengundi adalah demokrasi dan ekonomi, diikuti dengan hak pengguguran dan imigrasi.

Data juga menunjukkan bahawa 73 peratus rakyat Amerika percaya demokrasi mereka dalam bahaya, manakala 25 peratus berpendapat sebaliknya.

Dakwaan penipuan di Philadelphia

Menjelang penghujung hari pengundian, Trump membuat kenyataan di laman web, Truth Social miliknya tentang dakwaan penipuan besar-besaran di Philadelphia, walaupun tanpa bukti kukuh. 

Trump turut menuduh pilihan raya 2020 sebagai ‘dirampas sekali lagi’ menimbulkan kegelisahan dengan isu penipuan. 

Kenyataan tersebut segera disangkal oleh pegawai pilihan raya di Philadelphia dan Detroit sebagai ‘pemalsuan maklumat’.

“Saya tidak layan sampah” kata kerani Kota Detroit, Janice Winfrey kepada Reuters.

Pesuruhjaya bandar Philadelphia, Seth Bluestein, menjawab pada X, “Sama sekali tidak ada kebenaran untuk dakwaan ini. Ia adalah satu lagi contoh maklumat salah. Pengundian di Philadelphia selamat dan terjamin.”

Jutaan rakyat Amerika telah mengundi untuk memilih antara Trump dan pesaingnya, Harris bagi merebut jawatan Presiden ke-47 AS. – HARAKAHDAILY 6/11/2024

.

– Advertisement –

Scroll to Top