Pilih bergelar polis, jauhi niat-niat binasakan diri, kerjaya – KPN

Pilih bergelar polis, jauhi niat-niat binasakan diri, kerjaya – KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) mengingatkan semua pelatih yang memulakan karier sebagai pegawai polis menjauhkan diri  salah laku dan rasuah sepanjang dalam perkhidmatan.

Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka diingatkan agar mematuhi  undang-undang negara serta perintah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerjaya kepolisan menuntut untuk berkorban masa dan tenaga demi tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam. 

“Pelatih sendiri telah memilih bergelar polis, justeru, laksanakan tugas dengan penuh suci  hati, jujur dan amanah tanpa diselubungi niat-niat lain yang boleh membinasakan diri dan kerjaya,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih Siri 1/2023 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

FOKUS

Menurut beliau, PDRM telah menetapkan dua fokus utama yang perlu dipatuhi  seluruh warga pasukan  bagi memastikan organisasi  sentiasa berada pada landasan yang betul. 

Katanya, fokus pertama ialah perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang  baik, manakala fokus kedua mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

“Kedua-dua fokus ini perlu digerakkan secara total di setiap peringkat dengan integriti kekal menjadi indikator terpenting dalam membentuk keperibadian pegawai polis yang cemerlang,” jelasnya.

Tegas beliau, perlu diingat, bahawa tugas polis merupakan satu  amanah yang telah disandarkan di bahu dan akan dihisab di akhirat kelak. 

“Jadilah seorang pegawai polis yang berintegriti dan jujur kerana keberkatan dalam pekerjaan itu, membawa keberkatan dalam kehidupan,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 538 orang pelatih terdiri daripada 103 wanita dan 435 lelaki berjaya menamatkan latihan selama sembilan bulan bermula 19 Februari lalu.- UTUSAN