KOTA BHARU: Anak Kelantan di perantauan memilih untuk pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi menggelakan kesesakan lalu-lintas yang lebih teruk.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata perantau mengakui perit untuk meredah kesesakan lalu-lintas yang memakan masa hampir 20 jam disebabkan oleh pertambahan jumlah kenderaan luar biasa setiap kali sambutan Aidilfitri.
Seorang perantau Mohd. Nurul Mohd. Yusoh, 38, berkata, peluang mendapat cuti lebih awal membuatkan dia dan isteri mengambil keputusan untuk pulang lebih awal ke kampung.
“Kami pulang kelmarin (Khamis), walaupun perjalanan lancar, namun jumlah kenderaan masuk ke Kelantan semakin bertambah.
“Saya difahamkan jumlah itu akan terus bertambah memadangkan lebih ramai perantau yang mula bercuti pada Jumaat (semalam),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Hakimi Ismail, 38, memberitahu, walaupun sudah biasa dengan situasi tersebut namun mengharungi perjalanan lebih 14 jam cukup memeritkan.
Katanya, sepanjang perjalanan itu dia perlu memberikan tumpuan sepenuhnya bagi menggelakan sebarang insiden kerana pergerakan kenderaan menjadi semakin perlahan sebaik sahaja memasuki Gua Musang.
“Besar harapan saya agar pembinaan Central Spine Road (CSR) Gua Musang-Kuala Krai siap mengikut jadual.
“Sejujurnya sudah penah untuk meredah kesesakan lalu-lintas setiap tahun,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis menasihatkan perantau dari Lembah Klang yang pulang ke Kelantan sempena Aidilfitri supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada laluan Gua Musang-Kuala Krai berikutan kerja pembinaan jalan yang masih belum selesai.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pengguna jalan raya perlu mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan teruk.-UTUSAN