JOHOR BAHRU: Pihak penguat kuasa tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mana-mana individu bermain mercun apatah lagi ketika berada dalam musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, penjualan mercun dan bunga api juga dibenarkan secara terbuka dan peniaga boleh memohon lesen dan permit daripada pihak berkuasa.
“Jadi, kita tidak boleh tahan atau halang penduduk setempat bermain mercun, tambahan pula ketika meraikan kedatangan Aidilfitri nanti,” katanya selepas majlis agihan sup tulang merah sempena Ramadan DUN Larkin di Dewan Jalan Utama, Kampung Melayu, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan skuad Buriram United akan berdepan situasi sama dilalui Pohang Steelers apabila terdapat sekumpulan individu bermain mercun di luar hotel mereka menginap.
Pada 18 Februari lalu, hotel di mana pemain Pohang Steelers ‘diserang’ bunyi dentuman mercun yang kuat sehingga lewat pagi, beberapa jam sebelum sepak mula perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pengendali kelab Korea Selatan itu, Park Tae-ha menyuarakan kekesalannya terhadap insiden itu yang mengganggu pemainnya untuk tidur dan mendapat rehat mencukupi.
Katanya, ia menjadi faktor penyumbang kepada kekalahan pasukannya 2-5 sekali gus terkandas di peringkat kumpulan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE).
Mohd. Hairi menambah, itu hanyalah alasan Pohang Steelers memandangkan ketika itu Johor sedang meraikan Perarakan Chingay bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di negeri ini.
Bercakap mengenai perlawanan itu, Mohd. Hairi yakin skuad bimbingan Hector Bidoglio mampu menewaskan pasukan The Thunder Castle dan seterusnya mara ke pusingan suku akhir.
“Sebelum ini, JDT hanya sekadar seri tanpa jaringan, Insya-Allah, JDT akan kembali dengan lebih kuat untuk aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” katanya.
Untuk rekod, tiket perlawanan bagi menyaksikan pertemuan antara JDT dan Buriram United, esok (11 Mac) habis terjual. – UTUSAN