Piastri ungguli GP Bahrain

Piastri ungguli GP Bahrain

SAKHIR: Oscar Piastri meraikan perlumbaan Formula Satu ke-50 dalam kariernya dengan penuh bergaya apabila menjuarai Grand Prix (GP) Bahrain dari petak utama, sebentar tadi.

Pelumba McLaren itu mengungguli perlumbaan dari awal hingga akhir, sekali gus menjadi pemenang dua kali pertama musim ini selepas empat perlumbaan berlangsung.

Piastri kini hanya ketinggalan tiga mata di belakang rakan sepasukan, Lando Norris dalam carta kejuaraan, selepas Norris sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

George Russell dari Mercedes menamatkan saingan di tempat kedua selepas menahan asakan hebat Norris di penghujung perlumbaan, walaupun disiasat kerana menggunakan DRS di luar zon ditetapkan.

“Ia hujung minggu yang luar biasa bermula dari kelayakan semalam, dan menamatkannya dengan kemenangan penuh bergaya memang menggembirakan.

“Ia sangat penting memandangkan pemilik pasukan kami dari sini, dan ini trek yang jarang berpihak kepada kami. Jadi kemenangan ini sangat istimewa,” kata Piastri.

McLaren kini gah di tangga teratas pengeluar dengan 151 mata, meninggalkan Mercedes yang mengumpul 93 mata selepas empat pusingan.

Charles Leclerc dari Ferrari dan Lewis Hamilton masing-masing mengisi tempat keempat dan kelima, disaksikan bekas bos Ferrari, Luca di Montezemolo yang diberi penghormatan melambai bendera penamat.

Max Verstappen dari Red Bull yang memenangi GP Jepun minggu lalu, menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan kini jatuh ke tempat ketiga keseluruhan. – AGENSI

Scroll to Top