Piala Malaysia: Sri Pahang ke separuh akhir

Piala Malaysia: Sri Pahang ke separuh akhir

KUANTAN: Sri Pahang berjaya menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perak FC dengan agregat 4-3 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam ini.

Kedua-dua pasukan bermula agresif terutama penyerang Perak FC dalam usaha memburu gol penyamaan selepas tewas 0-1 pada pusingan pertama di Manjung.

Bagaimanapun Manuel Hidalgo berjaya melakukan gerakan sebelah kanan dari sudut yang sukar untuk gol pertama Sri Pahang pada minit ke lima yang berjaya menewaskan Haziq Nadzli.

Anak buah Yusri Che Lah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Wan Zack Wan Haikal berjaya merembat deras menewaskan penjaga gol Sri Pahang pada minit ke sembilan.

Tindakan agak keras Firdaus Saiyadi  ke atas Sean Sivaraj pada minit ke-30 membawa padah selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Hidalgo.

Sepakan sudut pada minit ke-42 mengubah keadaan apabila Perak FC berjaya mendapat gol penyamaan melalui tandukan Firdaus Saiyadi yang berjaya menewaskan penjaga gol muda Sri Pahang, Azfar Arif Mohd. Sukri.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Sri Pahang menggandakan asakan sehingga berjaya dihadiahkan sepakan penalti selepas Kpah Sherman dijatuhkan Haziq dalam kawasan penalti.

Hidalgo tidak mempunyai masalah untuk sekali lagi menewaskan penjaga gol pelawat sekaligus mencipta jaringan hatrik pada minit ke-44.

Tindakan Yusri membawa masuk Ahmad Daniel Hakimi nyata membawa hasil selepas sepakan jarak jauh dari pemain itu berjaya mengelirukan dua pertahanan serta penjaga gol Tok Gajah untuk merapatkan jurang gol minit ke-54.

Tamat perlawanan kedua-dua pasukan berkongsi jaringan yang sama 3-3 sekali gus melayakkan Sri Pahang ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-3. – UTUSAN

Scroll to Top