Plymouth akan berdepan Manchester City di pusingan kelima Piala FA. Foto: Agensi
KELAB Liga Kejuaraan, Plymouth Argyle berpeluang mencipta kejutan dalam pengembaraan apabila berdepan finalis musim lalu juga penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dalam Pusingan Kelima Piala FA.
The Pilgrims yang sedang bergelut mengeluarkan diri dari zon penyingkiran akan bertandang ke laman City bimbingan Pep Guardiola pada minggu pertama Mac sebelum ini menyingkirkan cabaran satu lagi wakil Liga Perdana Inggeris, Brentford pada pusingan ketiga.
Plymouth yang berada dikedudukan tercorot dalam kalangan 24 pasukan saingan tahap dua England itu sebelum ini mencipta kejutan menyingkirkan pasukan pilihan Liverpool, 1-0 di Stadium Home Park.
Sementara itu, undian pusingan kelima juga menyaksikan tiga pertembungan sesama sendiri dalam kalangan kelab Liga Perdana Inggeris.
Juara bertahan, Manchester United akan menerima kunjungan Fulham di Old Trafford manakala finalis Piala Liga, Newcastle akan menerima kunjungan Brighton & Hove Albion di St James’ Park, yang menyingkirkan Chelsea pada Ahad.
Bournemouth, yang tidak pernah melepasi suku akhir kejuaraan Piala FA akan beraksi di Stadium Vitality menentang bekas juara empat kali, Wolverhampton Wanderers.
Aston Villa pula akan menghadapi pasukan Liga Kejuaraan Cardiff City di Stadium Villa Park selepas menyingkirkan Tottenham Hotspur pada Ahad.
Sementara itu, satu pasukan dari Liga Kejuaraan akan mara ke pentas lapan terakhir selepas Preston North End diundi menentang Burnley, juga dari Lancashire, di Stadium Deepdale.
Crystal Palace pula akan menerima kunjungan Millwall dalam derbi London selepas menewaskan Doncaster Rovers di Stadium Selhurst Park, manakala Ipswich Town akan melawat sama ada Exeter atau Nottingham Forest, yang akan bertemu pada Rabu.