Piala Dunia: Bola Emas milik Messi

Piala Dunia: Bola Emas milik Messi

QATAR – Penyerang Argentina, Lionel Messi dipilih memenangi Bola Emas iaitu pemain terbaik Piala Dunia 2022 selepas membantu pasukannya muncul juara dengan menewaskan Perancis pada aksi final.

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu muncul pemain pertama memenangi dua kali anugerah berkenaan selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik pada Piala Dunia 2014.

Messi meledak dua gol pada aksi final di Stadium Lusail itu untuk merekodkan keseluruhan tujuh gol sepanjang kejohanan kali ini.

Dia turut menyempurnakan sepakan pada penentuan penalti yang menyaksikan Argentina menang 4-2 ke atas Perancis selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga tamat masa tambahan.

Kylian Mbappe menjadi pemain kedua di belakang Perancis untuk anugerah berkenaan tetapi dia berjaya membawa pulang Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan selepas meledak lapan gol.

Luka Modric berada di kedudukan ketiga dalam pemburuan sebagai pemain terbaik kejohanan yang menyaksikan dia membantu Croatia menamatkan saingan di tempat ketiga.

Sementara itu, penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez meraih anugerah Sarung Tangan Emas apabila dipilih sebagai penjaga gol terbaik manakala rakan senegara, Enzo Fernandez yang berusia 21 tahun dinamakan sebagai pemain muda terbaik.

Kemenangan Argentina ke atas Perancis menyaksikan pasukan itu merekodkan gelaran juara Piala Dunia ketiga selepas melakukannya pada edisi 1978 dan 1986. – MalaysiaGazette

Scroll to Top