Piala Dunia 2034 tidak bertembung dengan Olimpik Musim Sejuk

Piala Dunia 2034 tidak bertembung dengan Olimpik Musim Sejuk

Lausanne: Piala Dunia 2034, yang dijangka berlangsung di Arab Saudi dan mungkin diadakan pada bulan-bulan yang lebih sejuk, tidak berisiko bertembung dengan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Salt Lake City, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Arab Saudi menjadi satu-satunya negara menawarkan diri bagi Piala Dunia 2034, dengan undian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dijadualkan minggu depan.

Fifa menyatakan bahawa bidaan Arab Saudi tidak menentukan tarikh khusus untuk kejohanan itu, namun Fifa akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menentukan waktu terbaik, memandangkan cuaca panas negara itu.

Bagaimanapun, IOC yakin tiada isu besar yang akan timbul sekiranya kedua-dua acara mega ini berlangsung dalam tempoh yang sama.

Sukan Olimpik Musim Sejuk dijadualkan dari 10 hingga 26 Februari 2034.

“Ini akan menjadi pesta sukan yang hebat untuk peminat dalam tempoh tiga hingga empat bulan,” kata Pengarah Eksekutif Sukan Olimpik Christophe Dubi pada sidang media.

“Risiko untuk kedua-dua acara berlangsung serentak amat kecil. Dengan lokasi yang berbeza dari sudut negara dan benua, termasuk aspek komersial, hampir tiada risiko,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa tiada masalah besar dari sudut penggunaan platform penyiaran atau saluran media kerana acara sukan ini akan memberi peluang kepada peminat menikmati aksi berterusan dalam tempoh yang singkat.

Dengan iklim padang pasir Arab Saudi, Piala Dunia 2034 berkemungkinan besar dianjak ke musim sejuk, seperti edisi 2022 di Qatar yang berlangsung dari akhir November hingga pertengahan Disember.

Keputusan ini dijangka memberikan fleksibiliti kepada Fifa dan IOC dalam memastikan kejayaan kedua-dua acara tersebut tanpa sebarang konflik logistik atau komersial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top