Paris: Jurulatih Perancis yang paling lama mengendalikan skuad kebangsaan, Didier Deschamps tidak berminat memperbaharui kontraknya yang tamat pada 2026, menurut Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), awal pagi tadi.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu akan menamatkan tugasnya selepas berakhir Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico jika Perancis layak atau meninggalkan pasukannya lebih awal selepas tamat kempen kelayakan jika mereka gagal melepasi peringkat itu.
Pengendali berusia 56 tahun itu mengambil alih tugas daripada bekas rakan sepasukan yang menjuarai Piala Dunia 1998 Laurent Blanc pada 2012 dan membawa Les Bleus menjuarai Piala Dunia 2018, dua tahun selepas mara ke final Kejohanan Eropah di tempat sendiri.
Bekas kapten Perancis itu, antara tiga orang yang menjuarai kejohanan teragung bola sepak sebagai pemain dan pengurus membawa sekali lagi skuadnya ke final Piala Dunia 2022 tetapi tewas di tangan Argentina menerusi penalti.
Deschamps yang memenangi trofi dengan setiap kelab dikendalikannya sebelum menjadi jurulatih Perancis turut meraih gelaran Liga Negara-Negara 2021 bersama Les Bleus. Sebagai pemain, dia menjadi kapten ketika menjuarai Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.
Belum dapat dipastikan siapa pengganti Deschamps tetapi Zinedine Zidane muncul pilihan utama mengendalikan skuad Perancis.
© New Straits Times Press (M) Bhd