PHNS puji kerja keras pemain tewaskan Territory Stingers

PHNS puji kerja keras pemain tewaskan Territory Stingers

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) memuji persembahan bertenaga dipamerkan skuad hoki wanita Negeri Sembilan yang berjaya menewaskan Territory Stingers, 1-0, dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Ia kemenangan ketiga dicatatkan pasukan itu musim ini selepas terdahulu mengenepikan cabaran Malaysian University (MU), Armed Forces HT dan QNET Phoenix.

Setiausaha Kehormat PHNS, Tamil Selvan menegaskan kemenangan itu begitu bermakna dalam misi merealisasikan sasaran awal untuk layak ke peringkat separuh akhir saingan musim ini.

“Syabas kepada pemain Negeri Sembilan yang berjaya mempamerkan perjuangan kental apabila berjaya menterjemahkan kemenangan ke atas wakil dari Australia, Territory Stingers, semalam.

“Persatuan bangga dengan kemenangan dicapai kerana wakil dari Australia itu bukan lawan mudah, tapi pemain berjaya menyerap tekanan dan memanfaatkan peluang terbaik untuk mencipta kemenangan.

“Kami yakin kemenangan ini akan membuka peluang lebih baik untuk pasukan beraksi di peringkat separuh akhir, sebelum melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya hari ini.

Pada aksi itu, Nuraslinda Said muncul wira buat Negeri Sembilan selepas menjaringkan gol tunggal menerusi gol padang pada penghujung perlawanan, sekali gus memberi kemenangan ketiga buat pasukan itu daripada lima perlawanan diharungi.

Tamil berharap skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman itu berusaha mengekalkan prestasi terbaik menjelang perlawanan terakhir menentang Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS UNITEN, di gelanggang lawan, Khamis ini.

“Pemain perlu kekalkan prestasi terbaik dan fokus terhadap aksi terakhir menentang wakil Pulau Pinang, di tempat lawan, Khamis ini.

“Kemenangan pada perlawanan terakhir itu nanti akan dapat memastikan peluang Negeri Sembilan untuk menamatkan saingan di tangga kedua liga sekali gus beraksi di peringkat separuh akhir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top