PUTRAJAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menafikan spekulasi penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam kalangan DAP dan PKR yang dipercayai ‘akan menyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.
Beliau berkata, ini termasuk dakwaan bahawa DAP akan memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, Ahli Parlimen Kapar itu yakin semua ahli Parlimen pembangkang ‘tidak lari,’ malah, sepakat bersama Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini semua tidak betul. Mereka (DAP) tidak terlibat langsung dalam CSA ini dan saya telah mengesahkan dengan mereka. Semua bersama kita. Tidak ada seorang pun lari.
“Malah, ada antara pemimpin DAP pun sudah buat kenyataan untuk tidak menyokong Muhyiddin. Jadi, tunggu lah sidang Parlimen nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi mengenai ura-ura DAP akan menyokong Muhyiddin dalam usul percaya Perdana Menteri melalui perjanjian CSA.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua baru-baru ini menimbulkan persoalan mengenai usaha sia-sia menjatuhkan Muhyiddin yang berkemungkinan besar akan berpihak atau memberi manfaat kepada UMNO.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, ada kejutan terbesar berlaku berdasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen DAP dan PKR cenderung berpihak kepada PN.
Malah, keyakinan PN untuk meraih majoriti itu akan diteruskan pula dengan satu rombakan Kabinet sebagai tanda kepemimpinan serius untuk memastikan survival kerajaan bertahan sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan.
Perkara-perkara itu dipercayai antara yang dibangkitkan dalam pertemuan khas pemimpin-pemimpin PN diketuai Perdana Menteri di Putrajaya. -UTUSAN ONLINE