PH mungkir janji naik harga diesel – Pas

PH mungkir janji naik harga diesel – Pas

PETALING JAYA: Pas menyifatkan rasionalisasi diesel sebanyak RM3.35 seliter bermula semalam sebagai langkah yang membebankan rakyat dan menimbulkan pelbagai spekulasi berbangkit.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat sebagai tidak menepati janjinya kepada rakyat selain menimbulkan spekulasi disebabkan pelarasan subsidi diesel yang tidak konsisten.

“Pelarasan subsidi diesel yang tidak konsisten antara Semenanjung dan Sabah Sarawak menimbulkan pelbagai spekulasi seperti Kerajaan Madani tidak berani membuat penyelarasan kerana negeri itu bakal menghadapi pilihan raya negeri dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia melaraskan harga diesel bagi semua pegeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Mohamed Sukri berkata, ketidaktentuan kerajaan menyusun penyelarasan subsidi itu juga membuatkan rakyat menjadi keliru dan terbeban.

“Bukan soal pemberian subsidi bersasar yang mencetuskan kemarahan rakyat, tetapi ketidaktentuan kerajaan itu sendiri, mereka seolah-olah tidak tidak yakin dengan dasar yang mahu dibawa,” jelasnya. – UTUSAN