London: Lembaga Pegawai Perlawanan Profesional (PGMOL), mengumumkan bahawa mereka sedang menyiasat tuduhan baharu terhadap pengadil David Coote dengan serius, manakala badan induk bola sepak Eropah, Uefa, mengesahkan bahawa mereka menggantung pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
The Sun menerbitkan sebuah video yang mendakwa menunjukkan Coote kelihatan menyedut serbuk putih semasa bertugas sebagai pengadil di Euro 2024.
Video berkenaan belum disahkan oleh Reuters.
“Kami menyedari tuduhan ini dan kami mengambilnya dengan sangat serius. David Coote kekal digantung sementara siasatan penuh dijalankan,” kata jurucakap PGMOL.
“Keprihatinan terhadap kesejahteraan David adalah keutamaan kami dan kami komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh ini.”
Reuters menghubungi Coote melalui PGMOL untuk mendapatkan komen.
Coote, 42, digantung oleh PGMOL selepas sebuah video lain tersebar di media sosial menunjukkan beliau didakwa mengeluarkan komen merendahkan Liverpool dan bekas pengurus, Jurgen Klopp.
Uefa juga mengesahkan bahawa mereka mengambil tindakan terhadap Coote lebih awal minggu ini.
“Jawatankuasa Pengadil Uefa segera menggantung David Coote sehingga diberitahu kelak pada 11 November – sebelum pusingan perlawanan Uefa yang akan datang – apabila mereka menyedari kelakuan tidak wajar beliau,” kata jurucakap UEFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd