PGA7 rampas rokok seludup bernilai lebih RM1.7 juta

PGA7 rampas rokok seludup bernilai lebih RM1.7 juta

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 4,613 karton rokok seludup bernilai lebih RM1.7 juta dalam serbuan di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat dan Tanah Merah.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan sejak semalam bermula dengan penahanan seorang lelaki di sebuah warung di Taman Jazna, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek mendapati tiada sebarang bahan terlarang dijumpai namun sebaik soal siasat dijalankan suspek mengaku ada menyimpan sejumlah rokok seludup di Kampung Setia Padang, di sini

“Anggota bertugas bersama suspek kemudian ke lokasi terbabit dan menemui 13 karton rokok di atas lantai bahan ruang tamu rumah berkenaan sebelum bertindak menahan suspek serta merampas kesemua rokok berkenaan

“Kemudian, hasil maklumat serbuan pertama anggota meneruskan serbuan ke lokasi kedua dengan membuat tinjauan menggunakan dron di kawasan pangkalan haram Pulau Tengkorak di Tumpat, pada jam 5 pagi, hari ini.

“Hasil pemantauan udara, anggota mengesan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan kerana sedang memunggah kotak daripada sebuah bot ke tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kumpulan lelaki berkenaan kemudian bertindak melarikan diri ke negara jiran, Thailand menggunakan bot.

“Anggota bertugas membuat pemeriksaan di sekitar kawasan terbabit dan menemui 57 kotak berwarna coklat yang dipercayai mengandungi rokok yang cuba diseludup dari negara jiran.

“Pada hari sama, sekitar jam 6 pagi, anggota sekali lagi membuat serbuan di sebuah kilang kayu lama yang tidak beroperasi di Kampung Tok Che Dol , Tanah Merah sebelum menemui sejumlah lagi kotak rokok seludup.

“Ketika serbuan, terdapat seorang suspek di lokasi terbabit, namun dia melarikan diri ke dalam hutan berdekatan dan tidak berjaya dijejaki,” katanya.

Jelasnya, kes itu disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

“Kesemua rokok yang dirampas disyaki dibawa masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram di sekitar sempadan Malaysia -Thailand,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top