PGA tumpas aktiviti pemerdagangan orang di Pasir Mas

PGA tumpas aktiviti pemerdagangan orang di Pasir Mas

Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan pemerdagangan orang membabitkan enam pendatang tanpa izin (Pati) menerusi Op Nyah II di Kampung Barol Pial di Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 PGA pada 6 petang selepas menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan susulan atas maklumat yang diterima.

“Terdapat enam lelaki disyaki warga Myanmar di dalam rumah itu, empat suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek berkenaan disyaki diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua suspek berumur 32 dan 50 tahun dipercayai menjadi tekong untuk menyeludup empat individu itu.

Dua kad berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dan satu telefon bimbit turut dirampas.

Semua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top