PGA rampas mercun, bunga api bernilai RM1.22 juta

PGA rampas mercun, bunga api bernilai RM1.22 juta

am@hmetro.com.my

Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM1.22 juta di sebuah rumah di Kampung Bunohan di sini, petang semalam.

Rampasan dibuat pada 6.45 petang dalam Op Taring Charlie dan seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan di rumah yang dijadikan transit itu tidak menemukan sebarang barang yang menyalahi undang-undang.

“Bagaimanapun, pemeriksaan terhadap sebuah lori di hadapan premis itu membawa kepada penemuan berpuluh kotak yang disyaki mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

“Dokumen berkaitan barang yang ditunjukkan oleh pemilik premis agak meragukan, dan polis merampas semua barang berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.22 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, mercun dan bunga api itu disyaki untuk pasaran tempatan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.4 juta termasuk lori.

“Semua rampasan, termasuk suspek, dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tumpat, Kelantan, untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1995,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top