am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kayu balak tanpa cukai termasuk yang siap diproses secara haram bernilai RM16.3 juta di empat kilang berbeza di jajahan Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, nilai itu membabitkan keseluruhan 1,090 batang balak, 2,953 kayu dipotong bulat dan 128,000 kayu yang siap diproses di keempat-empat lokasi serbuan.
Katanya, kesemua rampasan dibuat pada waktu tengah hari membabitkan kilang di Kampung Bukit Tuku, Cabang Tiga Repek di Lubok Jong, Kampung Banggol Petaling dan kawasan perindustrian Apam, di sini.
“Pemeriksaan yang dibuat anggota bertugas ke atas semua kilang terbabit mendapati ia beroperasi tanpa lesen yang sah dan kayu tidak bercukai daripada Jabatan Perhutanan.
“Nilai rampasan kayu balak di lokasi pertama bernilai RM8.22 juta, di lokasi kedua pula sebanyak RM5.32 juta, manakala lokasi ketiga berjumlah RM500,000 dan kilang keempat ialah RM2.28 juta.
“Hasil serbuan itu juga, anggota turut menahan empat lelaki yang juga pemilik serta penjaga kilang berusia 23 hingga 81 tahun untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, kesemua suspek ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 dan kayu balak yang dirampas pula diserahkan kepada pihak Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut.
“Kami akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan memproses kayu secara haram daripada terus berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand.
“Selain itu, kerjasama semua pihak termasuk penduduk setempat yang mengetahui berkaitan kegiatan berkenaan juga dialu-alukan untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa bagi melancarkan lagi operasi mengekang kegiatan haram ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd