PGA rampas dadah, barangan runcit, kambing bernilai lebih RM700,000

PGA rampas dadah, barangan runcit, kambing bernilai lebih RM700,000

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai barangan runcit, kosmetik, kambing dan dadah membabitkan nilai lebih RM700,000 menerusi empat serbuan berasingan di Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.

Serbuan dilakukan Batalion 8 dan Batalion 9 PGA di empat lokasi berasingan pada Isnin dan malam kelmarin itu turut menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 23 hingga 38 tahun.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan pertama membabitkan rampasan barangan runcit dan kosmetik bernilai hampir RM600,000 di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, Isnin lalu.

Katanya, barangan berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand dan pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 38 tahun untuk siasatan.

“Serbuan kedua membabitkan 57 kambing dan 16 biri-biri di Kampung Repek selepas kita menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan dan rampasan membabitkan hampir RM110,000 termasuk lori. Seorang lelaki berusia 35 tahun turut ditahan.

“Serbuan seterusnya membabitkan lokasi memproses air ketum di kawasan semak di Kampung Belukar. Hasil serbuan kita merampas 280 bungkus air ketum, 528 bungkus daun ketum dan pelbagai peralatan bernilai hampir RM16,000.

“Dua lelaki tempatan berusia 23 dan 24 tahun turut ditahan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, serbuan terbaru dilakukan malam kelmarin di sebuah rumah yang disyaki dijadikan lokasi penjualan dadah di Kaloung Pintu Geng Hulu, di sini.

“Hasil serbuan berkenaan kita merampas 1,000 biji pil Epam bernilai lebih RM16,000 dan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun.

“Kes-kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Selsyen 4(1) Akta Makanan 1983 dan Seksyen 7(1)(e) Peraturan Dadah dan Kosmetik serta Seksyen 36(1) Akta Binatang 1963,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top