PETRONAS Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) mencatatkan RM361.8 juta dengan lonjakan 27 peratus keuntungan sebelum cukai pada suku keempat tahun 2024 (S4 TK2024) yang berakhir 31 Disember 2024 berbanding S4 TK2023.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, kejayaan itu menunjukkan keberkesanan dan fokus strategik terhadap pertumbuhan, kecemerlangan operasi selain mengutamakan pelanggan.
Menurutnya, antara faktor lain termasuk dorongan margin yang kukuh berikutan keadaan pasaran yang menggalakkan dan disiplin kos pengurusan.
“Walaupun persekitaran yang mencabar, keupayaan kami untuk menyampaikan keuntungan mampan mencerminkan keteguhan model perniagaan, kepercayaan pelanggan dan pendekatan berdisiplin dalam menentukan anjakan pasaran.
“Prestasi kukuh ini menggariskan fokus kepada keuntungan yang mampan, disokong oleh portfolio strategik dan kecekapan kos dengan kedua-dua segmen Runcit dan Komersial menyumbang kepada keputusan keseluruhan.
“Keputusan ini menunjukkan cara kami terus tangkas, memacu kecekapan dan meletakkan diri untuk penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, menurut Azrul, bagi tempoh 12 bulan, Petronas Dagangan mencapai jumlah jualan tahunan tertinggi sepanjang masa sebanyak 16.8 bilion liter sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil kepada RM38 bilion.
Tambah beliau, pencapaian itu didorong oleh gabungan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan di stesen Petronas, kempen promosi yang disasarkan seperti Bonanza 50 dan strategi pemasaran berasaskan data.
“Petronas Dagangan kekal berusaha untuk memacu kemampanan dan memperkayakan komuniti sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kami.
“Ini mencerminkan permintaan keseluruhan yang lebih kukuh walaupun purata harga jualan lebih rendah sekali gus mencatatkan kenaikan 15 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM1.5 bilion,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azrul berkata, melalui inisiatif minyak masak terpakai (UCO), membolehkan pelanggan menukarnya kepada insentif tunai sebagai tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
Jelasnya, Petronas Dagangan menjangkakan penggunaan swasta yang stabil dan dipercepatkan pelaksanaan rancangan pembangunan negara dan persekitaran operasi yang lebih stabil pada tahun 2025.
Bagaimanapun, ketidaktentuan perdagangan global dan harga minyak yang menyederhana boleh mempengaruhi keadaan pasaran.
“Kami akan terus memacu kecekapan operasi dan meningkatkan pengalaman pelanggan untuk mengukuhkan asas perniagaan sambil kekal responsif terhadap perubahan dalam landskap kawal selia serta global.
“Kami memasuki 2025 dengan cita-cita yang jelas untuk membina momentum kami dan kekal ke hadapan dalam landskap yang berubah-ubah.
“Fokus kami ialah menyampaikan nilai, memperdalam kepercayaan pelanggan dan menjadikan kehidupan seharian lebih mudah dan lebih baik selain bersedia untuk mengharungi cabaran dalam memacu fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Susulan kejayaan tersebut, Petronas Dagangan telah mengumumkan dividen interim sebanyak 25 sen dan dividen khas sebanyak 20 sen bagi setiap saham biasa untuk suku tahun berakhir 31 Disember 2024.
Bagi tahun kewangan 2024, jumlah dividen yang diumumkan adalah 107 sen bagi setiap saham biasa, mewakili kadar pembayaran 100 peratus.