Petronas batal majlis rumah terbuka

Petronas batal majlis rumah terbuka

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Petronas membatalkan semua sambutan Aidilfitri termasuk rumah terbuka yang dijadual diadakan di Kuching, Sarawak, pada 11 April ini.

Memetik laporan The Borneo Post, pembatalan itu dibuat atas dasar menghormati semua mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan pengurusan Petronas, dukacita dimaklumkan bahawa semua sambutan Hari Raya seluruh kumpulan dibatalkan.

“Ini (sebagai) tanda hormat dan solidariti terhadap komuniti yang terjejas oleh kejadian (kebakaran paip gas) di Subang Jaya baru-baru ini, serta barisan hadapan yang bertugas menyokong usaha pemulihan,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejadian kebakaran besar membabitkan saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius sehingga mengubah landskap kawasan itu kepada sebuah kawah besar pada kedalaman 32 kaki berkeluasan kira-kira 70×80 kaki, selain memusnahkan deretan kediaman dan harta benda dalam lingkungan radius 500 meter dari lokasi insiden.

Sebanyak 235 premis terjejas akibat kebakaran itu, dengan 87 terbakar sepenuhnya dan 148 rosak. Kira-kira 400 kenderaan turut terjejas, iaitu 225 hangus dan 174 rosak.

Mengenai perkembangan semasa mangsa yang dirawat, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 48 daripada keseluruhan 134 mangsa masih menerima rawatan di hospital dan klinik.

Menurut KKM, daripada 48 pesakit yang masih dirawat, 30 ditempatkan di fasiliti KKM manakala 18 di hospital swasta, dan setakat 3 petang semalam, tiada kematian dilaporkan berikutan insiden berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top