Petra salurkan RM2 bilion tangani NRW seluruh negara

Petra salurkan RM2 bilion tangani NRW seluruh negara

mdroji@bh.com.my

Kuching: Sejumlah RM2 bilion lagi diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu kadar air tidak berhasil (NRW) seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jumlah itu sama dengan yang disalurkan tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, program yang bermula tahun lalu itu berjaya mencapai matlamat untuk menurunkan kadar NRW peringkat nasional kurang daripada 35 peratus.

“Kalau dapat kita hendak mencapai kepada 30 peratus (penurunan NRW) tahun ini dan juga tahun depan di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Agihan Bubur Lambuk di Surau Darul Al Amin, Kampung Samariang Jaya Fasa 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali seera Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman.

Beliau berkata, anggaran pencapaian tidak dilaksanakan mengikut negeri dan kerajaan negeri sebelum ini menghadapi kesukaran membaik pulih paip bocor kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Justeru tahun ini kita ubah pendekatan dengan memberi geran kepada negeri yang masih menghadapi masalah NRW dalam 40 peratus.

“Peruntukan RM2 bilion yang disediakan tahun ini akan disalurkan secara berperingkat dan mengikut keperluan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan fokus kepada masalah isu kadar NRW kerana ia menyebabkan kerugian kepada negara melebihi RM2 bilion setahun.

Beliau berkata, NRW adalah antara cabaran dihadapi negara ini kerana air bersih sudah diproses itu hilang begitu sahaja disebabkan kebocoran paip dan pihaknya akan melihat permasalahan itu secara holistik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top