hafizithnin@mediaprima.com.my
KEINDAHAN alam semula jadi di bumi Sarawak tidak boleh dinafikan. Negeri itu mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi yang belum banyak diterokai bagi mereka yang menggemari percutian eko.Malah negeri itu juga ada banyak lokasi yang boleh dilawati di kawasan bandar dan ia juga mempunyai budaya serta warisan yang begitu kaya untuk didekati pengunjung.Baru-baru ini, rakan penulis, Afiq Irfan Zaharidin berkesempatan ke Bumi Kenyalang kerana ingin mengikuti sebuah acara larian denai berstatus ultra di negeri itu.Perkara yang menjadi tarikan kepada penulis ialah perkongsian fotonya di pelbagai lokasi menarik dari kawasan bandar sehingga ke lokasi perlumbaan yang amat menarik.Afiq berkata, dia membuat perancangan dan persiapan mengambil masa kira-kira sebulan termasuk membeli tiket penerbangan yang lebih murah untuk dibeli sekiranya ditempah lebih awal.”Sebagai penggemar sukan lasak dan keindahan alam, saya mencari acara larian di Sarawak yang pasti menjanjikan cabaran baru dan kaya dengan sejarah. Sebenarnya ini adalah kali kedua ke Sarawak, pertama kali bersama keluarga pada 2003.
pqc
“Jadi, saya mencari acara larian di Sarawak di media sosial dan menemui acara Larian Ultra Silabur di Serian. Saya tertarik dengan foto laluan perlumbaan yang agak cantik dan mencabar. Jadi, saya terus memutuskan untuk membuat persiapan sebulan sebelum perlumbaan itu berlangsung,” katanya.Katanya, dia memutuskan untuk tinggal selama lima hari di Sarawak supaya dapat menikmati makanan dan budaya tempatan dengan selesa. Jadi, pemilihan hotel yang mampu milik pastinya antara perkara penting supaya lebih berbaloi dari segi harga dan lokasi strategik.”Hari pertama tiba di Kuching lewat petang, saya dijemput kawan yang menetap di sana dan dibawa berjalan-jalan ‘pusing’ sekitar bandar sebelum singgah makan mi kolok yang begitu sinonim dengan masyarakat Sarawak.”Selesai makan saya dihantar pulang ke hotel untuk berehat dan bersiap untuk aktiviti esok hari. Perancangan pagi hari kedua adalah berjoging sekitar bandar raya Kuching bersama kawan-kawan yang turut serta dalam acara perlumbaan itu sebelum sarapan,” katanya.Jelasnya, pada pagi itu dia berjoging dari hotel sehingga Kuching Waterfront melalui beberapa tempat tumpuan pelancong seperti Padang Merdeka, Muzium Sarawak dan Mahkamah Lama Kuching yang sudah bertukar menjadi tempat makan.
pqc
“Sebenarnya saya melakukan aktiviti berjoging pada pagi itu bersama peserta dari India dan United Kingdom. Sambil-sambil itu kami bercerita mengenai sejarah Sarawak. Kami akhiri larian lima kilometer di Jambatan Darul Hana yang melintasi Sungai Sarawak selepas melewati Galeri Brooke yang terletak bersebelahan bangunan Adun Sarawak,” katanya.Kongsinya, usai melakukan aktiviti itu, mereka bersarapan roti canai di warung berhampiran dan singgah di kedai kopi sebelum berjalan pulang ke hotel untuk berehat.”Lewat petang berjalan sekitar kawasan hotel untuk melihat suasana bandar raya Kuching dengan hiasan lampu jalan berbentuk kucing dan pelbagai struktur monumen juga kucing yang menjadi mercu tanda bandar raya Kuching,” katanya.Pada hari berikutnya dia ke Borneo Culture Museum untuk melihat sejarah dan budaya masyarakat Sarawak dengan bayaran tiket RM20 untuk seorang dewasa dari Semenanjung.”Ia adalah muzium terbesar di Malaysia dan mercu tanda budaya utama di Asia Tenggara selain antara yang bertaraf dunia mempamerkan warisan budaya dan semula jadi Sarawak dan Borneo.
pqc
“Terletak di tengah bandar raya Kuching dan terdiri daripada lima tingkat yang menampilkan pameran interaktif, galeri serta koleksi artifak yang meliputi sejarah, budaya pribumi dan keajaiban alam rantau ini. Kami juga sempat singgah makan aiskrim gula apong yang menjadi kebanggaan masyarakat Sarawak sebelum pulang ke hotel,” katanya.Afiq berkata, pada Ahad jam 4 pagi dia mula menaiki bas ke Kampung Lobang Batu, Serian yang mengambil masa dua jam dari hotel atau jarak kira-kira 100 kilometer (km).”Bandar Serian adalah perkampungan masyarakat etnik Bidayuh keturunan Bukar-Sadong. Tiba di Dewan Batu Bedang, kami terus bersiap untuk memulakan larian 50km yang dilepaskan jam 6.30 pagi.”Suasana di dewan meriah dengan beberapa peserta 100km berehat selepas tamat larian dengan cuaca yang mendung dan nyaman. Selepas hampir 15km berlari, saya melalui kawasan Kampung Batu Mawang yang menyusuri denai menghijau dan laluan berbatu.”Seterusnya saya menuju Gua Silabur yang terletak di puncak Gunung Silabur. Lokasi itu antara yang saya nantikan untuk menyertai acara ini kerana ia mempunyai pemandangan memukau,” katanya.Ceritanya lagi, badannya terasa disapa tiupan angin sejuk yang keluar dari dalam gua sebaik tiba di pintu gua yang memberi isyarat pengembaraan sebenar bakal bermula.”Ruang dalam gua dibahagikan oleh tirai formasi batu kapur purba yang menakjubkan. Pastinya saya tidak melepaskan peluang merakam gambar ketika berada di lokasi itu.”Saya amat tertarik dengan kecantikan dan keunikan struktur Gua Silabur dengan silauan batu yang terkena pantulan cahaya matahari seakan-akan batu jed. Gua ini amat besar dan mempunyai cabaran tersendiri, laluan berbatu tajam dan curam yang memerlukan fokus serta berbeza dengan gua lain yang pernah diterokai,” katanya.Katanya, perjalanan diteruskan menuruni bukit menuju Gua Siturib iaitu lokasi ideal untuk berehat, menikmati bekalan makanan dan merendam kaki atau mandi kerana kawasan itu adalah tadahan air jernih dalam gua.”Pada hemat saya, menyertai acara larian ini bukan sekadar dapat menguji prestasi dalam dunia larian, tetapi saya berpeluang menerokai pelbagai keindahan di bumi Sarawak yang kaya pelbagai tarikan pelancongan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd