Peserta Himpunan RX-Z ditipu scammer inap desa

Peserta Himpunan RX-Z ditipu scammer inap desa

KUALA TERENGGANU: Hasrat sekumpulan penunggang motosikal RXZ dari Negeri Sembilan untuk menyertai Program Him­punan RXZ Members 6.0 di Terengganu bertukar mimpi ngeri apabila ditipu scammer inap desa.

Salah seorang peserta konvoi tersebut, Adli Ismail, 31, berkata, dia terkejut apabila mendapati rumah inap desa itu yang ditempah bulan lalu diduduki peserta RXZ Members yang lain.

Katanya, maklumat berhubung inap desa itu diperoleh melalui laman sosial Facebook dan dipersetujui bersama 26 kawan lain.

“Kami membayar sebanyak RM1,800 untuk dua malam di ru­mah dua tingkat itu dengan harapan dapat berehat dan mele­paskan lelah setelah melalui perja­lanan jauh dari Negeri Sembilan.

“Malangnya, ketika tiba di lokasi kejadian pada pukul 12 tengah hari kelmarin, kami dapati rumah itu sudah diduduki orang lain.

“Setelah bertanyakan situasi sebenar dengan penginap tersebut, barulah kami menyedari bahawa kami ditipu scammer yang mengambil kesempatan dengan kedatangan puluhan ribu peminat RX-Z seluruh negara,” katanya semalam.

Difahamkan, gambar rumah inap desa itu digunakan untuk iklan di Facebook, namun wang yang didepositkan adalah kepada scammer bukannya pemilik inap desa tersebut.

Program Himpunan RX-Z Members 6.0 yang berlangsung sejak kelmarin mengumpulkan peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara dan majlis perasmiannya di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus hari ini.

Adli berkata, dia dan rakan-rakannya reda dengan insiden tersebut namun tidak bercadang membuat laporan polis.

“Ini adalah sebahagian ujian kami dan anggap ia sebagai pengalaman yang mematangkan untuk dijadikan pengajaran pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, sepanjang berada di Terengganu, kami menerima layanan baik daripada masyarakat setempat yang banyak membantu dari pelbagai aspek untuk memastikan kami dapat menyertai Program RX-Z Members 6.0,” katanya. – UTUSAN