Putrajaya: Penerbangan Malaysia Airlines MH720 dari Jakarta ke Kuala Lumpur yang membawa 114 penumpang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi selepas mengisytiharkan kecemasan ketika dalam penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi di sini hari ini, dengan menyatakan terdapat kecemasan dalam penerbangan.
“Tiada kecederaan dilaporkan. Semua penumpang telah keluar dari pesawat dan sedang menunggu bagasi, yang mungkin mengambil sedikit masa. Bagi penumpang yang mempunyai penerbangan sambungan, mereka akan diuruskan bagi perjalanan seterusnya,” katanya tanpa mendedahkan punca kecemasan.
Isyarat kecemasan diterima pada 6.02 petang dan pesawat itu selamat mendarat di landasan 32R KLIA pada 6.17 petang, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd