Pesawat berpatah balik selepas terbang selama 10 jam kerana tandas tersumbat

Pesawat berpatah balik selepas terbang selama 10 jam kerana tandas tersumbat
Pesawat berpatah balik selepas terbang selama 10 jam kerana tandas tersumbat

Kain buruk dan pakaian yang ditemui tersangkut pada saluran paip tandas pesawat itu. Foto Agensi

NEW DELHI – Gara-gara tandas tersumbat, sebuah penerbangan Air India terpaksa berpatah balik ketika kejadian pada minggu lalu.

Penerbangan 126 yang membawa 342 penumpang itu dari Chicago, Amerika Syarikat (AS) menuju ke New Delhi dan sempat terbang selama 10 jam sebelum insiden tersebut berlaku.

Rakaman peristiwa itu turut menjadi tular di media sosial dan menjadi topik perdebatan dalam kalangan warganet yang mempersoalkan etika ketika menggunakan tandas.

Kira-kira dua jam selepas berada di ruang udara, kru penerbangan mendakwa beberapa tandas tidak boleh digunakan.

Pemeriksaan yang dilakukan mereka mendapati lapan daripada 12 tandas di kelas perniagaan dan ekonomi tersumbat dan menyebabkan ketidakselesaan kepada kesemua penumpang.

Juruterbang kemudiannya memutuskan untuk berpatah balik demi keselamatan penumpang ketika penerbangan itu sudah pun berada di ruang udara Lautan Atlantik berhampiran Greenland.

Sekatan ketat melibatkan operasi pada waktu malam di sebahagian besar lapangan terbang Eropah menyebabkan ia tiada pilihan lain dan terpaksa kembali ke Chicago.

Kesemua penumpang dan kru selamat tiba di bandar di daerah Cook, Illinois berkenaan dan diberi pilihan penerbangan alternatif.

Penyelenggaran dibuat Air India berjaya menemukan beg politena, kain buruk dan pakaian yang tersangkut pada saluran paip tandas pesawat itu. – Agensi

Scroll to Top