Paris: Nahas pesawat Azerbaijan Airlines menunjukkan terbang di atas Rusia menimbulkan “risiko tinggi” kepada penerbangan awam ketika perang di Ukraine, kata Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pada Jumaat.
Dalam satu buletin keselamatan, EASA berkata, konflik itu “menimbulkan risiko pesawat awam secara tidak sengaja menjadi sasaran di ruang udara Persekutuan Rusia, disebabkan oleh kekurangan penyelarasan awam-tentera dan potensi kesilapan pengecaman.”
Agensi itu memperbaharui cadangannya supaya syarikat penerbangan mengelakkan terbang di ruang udara barat Rusia.
Rusia menganggap cadangan itu sebagai “tidak masuk akal”.
“Adalah jelas negara yang tidak mesra dengan EASA cuba memberi kerosakan reputasi dan ekonomi kepada Rusia serta penerbangan awamnya,” kata pihak berkuasa penerbangan Rusia, Rosaviatsia.
Rusia mengharamkan syarikat penerbangan Kesatuan Eropah (EU) daripada terbang di ruang udaranya tetapi syarikat penerbangan dari China, Turkiye, negara Teluk dan negara lain masih dibenarkan berbuat demikian.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev berkata, pesawat penumpang Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan pada 25 Disember, mengorbankan 38 orang, ditembak “dari tanah” di atas bandar Grozny di Rusia, tempat pesawat itu sepatutnya mendarat.
Rusia berkata, sistem pertahanan udaranya berfungsi pada masa itu untuk menangkis dron Ukraine, tetapi tidak menyatakan secara jelas ia menembak pesawat itu.
EASA berkata, pengaktifan sistem pertahanan udara Rusia untuk menangkis peluru berpandu dan dron Ukraine yang dilancarkan ke Rusia “mungkin memberi impak langsung terhadap operasi penerbangan di beberapa lokasi, termasuk lapangan terbang antarabangsa utama.
“Kebanyakan insiden berlaku di ruang udara yang tidak ditutup oleh Persekutuan Rusia semasa serangan dron atau pengaktifan sistem pertahanan udara.
“Ini menimbulkan risiko tinggi kepada operasi penerbangan, seperti yang ditunjukkan oleh insiden yang membabitkan penerbangan Azerbaijan Airlines 8243 pada 25 Disember 2024,” kata buletin itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd